Tuesday, March 2, 2010

PERUNTUH MASJID PELUK ISLAM



BERAPA ramai di antara kita masih mengingati tragedi ummah yang berlaku


pada tahun 1992? Iaitu pada tarikh 6 Disember tahun itu, Masjid Babri di

Ayodhya , India tidak dapat dipertahankan dan diselamatkan apabila

institusi suci umat Islam itu dimusnahkan oleh puak pelampau Hindu.


Seramai 150,000 pejuang nasionalis Hindu yang tidak dapat dihalang

memusnahkan masjid itu dalam konflik berpanjangan perebutan antara Hindu

dan Muslim di India.


Salah seorang pelampau Hindu atau lebih tepat, dalang untuk meruntuh dan

memusnahkan Masjid itu merupakan seorang pemuda yang bernama Shive

Prasad berasal dari Faisabad, iaitu daerah di mana terletaknya masjid

itu.


Prasad ialah ketua sebuah parti politik Bajrang Dal yang diberi

kepercayaan dan tanggungjawab 'suci' untuk mengetuai hampir 4,000

penduduk kampungnya, Kar Sevak bagi memastikan masjid itu akhirnya

runtuh.


Tindakan melampau untuk meruntuhkan masjid purba itu telah dirancang

dengan baik oleh Prasad. Beliau memberi arahan dan latihan yang

secukupnya kepada para pengikutnya seramai 4,000 orang itu bagi

memastikan rancangan itu berjaya.


Satu tindakan yang melanggar undang-undang apatah lagi menghormati

perasaan penduduk Islam yang lain.


Sedangkan masjid itu merupakan salah sebuah masjid terbesar di negeri

Uttar Preadesh, utara India dengan bilangan umat Islamnya seramai 31

juta orang.


Pada hari kejadian itu, Prasad tidak sahaja menceroboh masuk malah

berjaya memanjat kubah besar masjid dan bersama pengikut-pengikut yang

lain mereka berjaya menawan masjid itu. Kemudian bersorak gembira

apabila mereka akhirnya berjaya meruntuhkan kubah dan keseluruhan masjid

tersebut.


Mereka melaung-laungkan perkataan "Ram! Ram!" sebagai tanda kemenangan

kononnya masjid itu akhirnya berjaya jatuh ke tangan pelampau Hindu.


Prasad puas hati kerana berjaya mengembalikan hak penganut Hindu yang

kononnya masjid Babri itu dibina atas tapak kuil, yang dibina bagi

memperingati tempat kelahiran tuhan mereka yang bernama Rama.


Namun tujuh tahun selepas kejadian itu, pada tarikh yang sama kejadian

runtuhan Masjid Babri itu, Prasad akhirnya sujud memohon ampun kepada

Allah atas 'kejahatan' beliau terhadap Masjid Babri itu. Malah beliau

berpuasa dan menyesali sehingga mengalir air mata memohon Allah

mengampuninya yang tergamak meruntuhkan rumah ibadat itu.


Kuasa Allah


Ya, pada tarikh 6 Disember 1999 itu, dengan kuasa Allah, Prasad memeluk

Islam dan menukar namanya kepada Mohammed Mustafa.


Berita pengislaman pemuda itu disiarkan oleh Malayalam News keesokan

harinya iaitu pada 7 Disember 1999 yang kemudiannya dipetik oleh Arab

News Publications di Arab Saudi.


Berita itu amat mengejutkan apabila melihat sendiri latar belakang

Prasad, terutama bapanya, Trigal Ramanathan merupakan Ketua Puak Sangh

Parivar di mana seluruh puak itu terbabit secara aktif dalam usaha

meruntuhkan Masjid Babri.


Menurut pemuda ini, sejak kejadian runtuhan masjid itu, Prasad dihantui

perasaan bersalah sehingga begitu menekan jiwanya. Walaupun pada

tangannya masjid itu akhirnya runtuh, namun ia tidak menjanjikan

kedamaian berikutan beliau merasakan telah melakukan satu dosa yang amat

besar.

Mungkin dengan keluar dari India , Prasad mengharap beliau tidak lagi

diburu oleh perasaan bersalah itu. Lalu beliau mencari pekerjaan di

Sharjah salah sebuah negara anggota Emiriah Arab Bersatu (UAE).


Namun fikirannya masih tidak tenang walaupun beliau menyibukkan diri

dengan pekerjaan dan suasana yang baru di negara itu.


Sehinggalah pada 4 Disember tahun 1998, pada hari itu beliau berjalan

seorang diri di sebatang jalan di bandar Sharjah. Secara tiba-tiba

beliau terdengar suara khatib dari sebuah masjid berhampiran. Menariknya, khutbah itu

disampaikan dalam bahasa Urdu dan beliau dapat mengikuti khutbah itu

dengan jelas.


Prasad berhenti untuk mendengar khutbah itu dan alangkah terkejutnya

pemuda ini apabila sang khatib menyebutkan bahawa Allah Yang Maha

Berkuasa atas segala sesuatu, mampu mengubahkan hati-hati yang tidak

mempercayai kewujudan-Nya selama ini.


Sejurus mendengar khutbah itu sehingga akhir, semacam satu perasaan yang

tenang menyelinap masuk ke hatinya. Malah seolah-olah telah tercabut

satu beban besar yang selama ini menyebabkan fikirannya menjadi begitu

serabut.


Segala puji-pujian terhadap Allah yang akhirnya telah memberi hidayah

dan membukakan hatinya walaupun dirinya telah melakukan kesalahan yang

lazimnya sukar untuk diterima apatah lagi dapat dimaafkan.


Namun berita Prasad memeluk Islam itu tidak sahaja menimbulkan kemarahan

keluarga. Malah akibat tidak dapat menanggung malu, Prasad akhirnya

dibuang oleh keluarganya sendiri. Beliau tidak dibenarkan pulang semula

ke India , kalaupun dia pulang juga maka nyawanya akan terancam.

Berita pengislaman Prasad itu juga menyebabkan parti-parti politik dan

pelbagai pertubuhan Hindu yang menyokong tindakan beliau beliau

meruntuhkan Masjid Babri turut marah dan mengancam untuk membunuhnya

tanpa mengira masa dan tempat.


Namun apa pun ancamannya Prasad tetap teguhkan imannya terhadap Islam.

Islam menjadikan beliau seorang manusia 'baru' yang dahagakan kebenaran

sehinggakan dalam tempoh yang masih baru mengenal Islam beliau berjaya

menghabiskan bacaan dan mempelajari 17 surah dalam al-Quran. Malah

beliau bersungguh-sungguh untuk khatam kitab suci itu.


Cita-citanya kini adalah untuk berkongsi kebenaran mengenai Islam dengan

orang lain termasuk ahli-ahli keluarganya sendiri.


"Kalau itu diizinkan Allah, bukan soal dosa saya akhirnya tertebus

sudah.


"Tetapi sekurang-kurangnya itulah sumbangan saya terhadap Islam di

samping perbuatan saya itu juga telah melukakan hati jutaan umat Islam

dan saya mahukan mereka juga memaafkan saya dengan sekurang-kurangnya

saya membina semula apa yang telah saya runtuhkan," ujarnya sayu.

DIPETIK DARIPADA wan_pzm@yahoo.com