Wednesday, August 18, 2010

IDOLAKU:Jutawan Melayu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary


Jutawan Melayu Tan Sri Syed Mokhtar Shah bin Syed Nor Al-Bukhary adalah seorang yang perahsia. Jarang sekali, beliau ingin berkongsi kisah peribadinya dan lebih banyak tersenyum dan memerhati.


Mokhtar merupakan seorang ahli perniagaan dan usahawan Melayu yang terkaya di Malaysia. Menurut majalah Malaysian Business beliau mempunyai harta bernilai RM2.93 billion pada 2005 seterusnya menjadi orang ketujuh terkaya di Malaysia pada 2005.


Dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 1951, beliau memulakan perniagaannya sebagai seorang pengusaha daging pada tahun 1970.


Beliau yang juga merupakan pemilik Yayasan al-Bukhary terlibat dalam perniagaan berasaskan perladangan, pembinaan, kejuruteraan, infrastruktur dan pelabuhan.


Usahawan Melayu terkaya berusia 58, juga dipilih sebagai Tokoh Melayu Terbilang 2009 tahun ini dan tersenarai antara 10 lelaki terkaya di Malaysia.


Pemilihannya dibuat berdasarkan pelbagai kejayaan yang ditempa selama 43 tahun di dalam bidang perniagaan selain sumbangan amalnya.


Syed Mokhtar pernah dipilih sebagai Tokoh Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1429 Hijrah/2008 Masihi, menjadikan beliau individu Melayu kelima menerima anugerah berkenaan sejak ia diperkenalkan pada tahun 2005.


JIWA DERMAWAN DIPUPUK IBU AYAH


Sifat dermawan dalam diri Syed Mokhtar dipupuk oleh bapanya, Syed Nor AlBukhary dan ibunya, Sharifah Rokiah Syed Mohamed Rahmat.


Kisah hidupnya bermula ketika membantu ibu bapanya berniaga lembu sekitar 1960-an sebelum beralih kepada perniagaan perkhidmatan lori pada 1970-an selepas mendapat bantuan Majlis Amanah Rakyat (Mara).


Daripada perniagaan lori, anak muda yang ketika itu masih pada usia awal 20-an mula berniaga beras secara kecil-kecilan. Pendapatan pertama daripada perniagaan diusahakan sendiri yang dibawa balik ke rumah ialah sebanyak RM1,500. Pada 1970-an, jumlah itu agak lumayan dan pastinya hati begitu gembira dengan wang sebanyak itu.


Namun, apabila ibunya memberitahu bahawa setengah daripada pendapatan itu digunakan untuk adik yang lain, sementara setengahnya pula perlu diberi kepada 15 keluarga miskin, Syed Mokhtar tidak membantah.


Masa beliau bawa balik pendapatan pertama, ibunya beritahu RM750 akan digunakan untuk adik dan RM750 lagi kena bagi pada 15 keluarga jiran yang susah, orang tua dan lain-lain. Setengah pendapatan itu diambil ibunya untuk beri orang yang kurang kemampuan.


Dari situlah jiwa dermawan dipupuk ibu bapa. Walaupun dari segi hukum, zakat pendapatan hanya 2.5 peratus, tetapi pendapatan Syed Mokhtar diambil 50 peratus. Selebihnya diberi kepada 15 keluarga dan sehingga kini beliau masih meneruskan amalan jariah membantu 15 keluarga berkenaan.


Kawan beliau, Syed Abdullah yang ditugaskan mengagih wang itu sejak mula pun sudah bercucu. Namun hingga kini beliau masih melaksanakan tanggungjawab itu. Dan lori serta syarikat berasnya masih beroperasi di Kedah.


Ramai yang tidak mengetahui Syed Mokhtar hanya sempat tamatkan pendidikan sehingga Tingkatan Lima, tetapi tidak berpeluang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana tidak mempunyai wang untuk membayar yuran peperiksaan.


Kisah yang dilalui pada zaman sekolah ini mendorong beliau untuk menjayakan Program Tuisyen Albukhary pada 2001. Ketika itu, perniagaan yang dimulakan sejak 30 tahun lalu berbekalkan jerit perih sudah maju dan berkembang pesat dan Yayasan Albukhary sudah ditubuhkan sejak 1996.


YAYASAN ALBUKHARY


Matlamat penubuhan yayasan itu sebagai memenuhi impian orang tua, terutama ibu yang mendidik beliau mencari rezeki bukan saja untuk diri sendiri tapi membangunkan ummah dan membantu golongan miskin.


Walaupun tidak dapat peluang melanjutkan pelajaran, Syed Mokhtar sedar kejayaannya pada hari ini kerana berjaya dalam bidang perniagaan. Atas kesedaran ini, beliau terfikir untuk memberi budak kampung yang miskin dan kurang cerdik mengikuti tuisyen secara percuma.


Guru yang mengajar digajikan satu jam RM40 untuk ajar budak-budak dalam mata pelajaran Sains, Matematik dan subjek lain yang mereka tidak mahir. Pusat tuisyen sudah berjalan empat tahun dan 22,000 pelajar sudah mendapat manfaat untuk maju dalam pelajaran.


Bukan setakat itu saja, Syed Mokhtar turut menyediakan Biasiswa Albukhary kepada pelajar miskin yang cerdik daripada 47 negara yang umat Islamnya adalah kumpulan minoriti untuk melanjutkan pengajian pada peringkat universiti.


Biasiswa Albukhary, program pendidikan antarabangsa itu sudah berjasa kepada 372 pelajar yang ada antara mereka cemerlang di persada antarabangsa.


Selain bidang pendidikan, Yayasan Albukhary turut mengambil tanggungjawab membina masjid dan memastikan pengurusannya berjalan lancar. Setakat ini, yayasan itu sudah membina 20 masjid di bandar dan luar bandar di seluruh negara.


Ayah kepada empat orang anak ini mengambil inisiatif membaik pulih Masjid Negara yang menjadi satu daripada destinasi pelancongan negara supaya sentiasa terang dan bercahaya seperti cerahnya Muzium Kesenian Islam Malaysia yang didirikan yayasan, bersebelahan Masjid Negara.


Daripada muzium, masjid, perniagaan berkembang dan rezeki Syed Mokhtar bertambah. Berkat dengar nasihat ibu, setengah kena bagi balik, beliau mendapat keinsafan.


Keinsafan itu juga mendorongnya membina Kompleks Albukhary di Kedah yang menempatkan rumah anak yatim, hospital dan pusat dialisis yang semuanya diberi secara percuma kepada golongan kurang berkemampuan supaya mereka dapat hidup selesa.


Syed Mokhtar berkata, semua yang dilakukan datang daripada jiwa dan didikan asal ibu bapa, selain gerak hatinya, ikhlas kerana Allah.


Semua yang dilakukan dengan niat satu tujuan untuk membantu mereka yang memerlukan.


Atas inisiatif beliau juga, beliau memohon kuota haji untuk menghantar kumpulan yang difikirkannya sudah layak, tetapi tidak berkesempatan menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah kerana tidak mempunyai wang seperti imam, bilal dan siak masjid.


Hartawan berusia 58 tahun itu berkata, beliau tidak pernah melihat dirinya seorang yang kaya kerana prinsip beliau ialah manusia ini hamba Allah dan Allah Yang Maha Kaya. Segala usaha, pelbagai dugaan serta cabaran dilalui sejak lebih 40 tahun lalu baginya adalah rezeki Allah. Dan rezeki itu dikongsi bersama 67,700 tenaga kerjanya.


Bagi Syed Mokhtar, jika seseorang itu rajin berusaha, dengan izin Allah mereka akan berjaya. Jadi, jika sesiapa bertanyakan apakah resipi kejayaan, jawapannya ialah menggunakan nikmat Allah untuk faedah orang ramai terutama dalam pencarian ilmu.


Beliau pernah dipetik berkata, "Saya bersyukur saya sudah rasa semua nikmat Allah melainkan mati, belum rasa lagi. Saya sudah dapat lebih, apa lagi yang saya hendak. Jadi, apabila Allah beri, kita perlu gunakan nikmat itu untuk faedah orang ramai.


"Apabila melihat pertubuhan Kristian, Buddha dan wat Siam yang banyak di Kedah, saya terfikir kenapa kita orang Islam tidak boleh berkembang. Alhamdulillah, saya dapat buat semua dan berkembang seperti hari ini, walaupun terpaksa melalui pahit maung," kata Syed Mokhtar.


Kini, Yayasan Albukhary yang diasaskan Syed Mokhtar berjaya memartabatkan Malaysia sebagai negara prihatin yang sentiasa membantu masyarakat dibelenggui kemiskinan, perang saudara dan bencana alam.


ANAK KELAHIRAN DEB


Kejayaan yang dinikmati Syed Mokhtar adalah hasil daripada langkah kerajaan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB).


Kata beliau, DEB telah memberi peluang kepadanya untuk bersaing dengan kaum lain dan seterusnya membuktikan bahawa anak Melayu juga mampu muncul sebagai konglomerat berjaya di pentas antarabangsa.


"Saya adalah anak kelahiran DEB. Melalui bantuan Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta UDA saya mengembangkan perniagaan tetapi terpaksa melalui proses pahit maung dahulu.


"Tiada jalan singkat untuk berjaya walaupun dengan bantuan kerajaan. Bumiputera harus mengambil peluang ini dan membuktikan mereka juga mampu berjaya," katanya.


Ketika ditanya sumbangan amalnya selepas mengumpul pelbagai anugerah, Syed Mokhtar berkata, rezeki yang diperolehinya digunakan untuk kebajikan lebih 67,800 kakitangan Kumpulan Albukhary dan selebihnya membantu golongan miskin.


Kesempitan hidup yang terpaksa dilaluinya ketika zaman kanak-kanak menyebabkan beliau kini berusaha membantu golongan yang memerlukan terutama pelajar dan anak-anak yatim.


BINA 7 MASJID BARU DI NEGERI SEMBILAN


Umat Islam di Negeri Sembilan akan memiliki tujuh masjid baru tidak lama lagi hasil sumbangan Yayasan Albukhary, milik ahli perniagaan tersohor ini.


Tujuh masjid itu akan dibina di Rantau; Seremban 2; Kampung Paroi; Kampung Gebok, Mantin; Kampung Melang, Kuala Pilah; Pedas Tengah, Rembau dan Taman Anggerik, Batu Kikir.


Beliau berkata, pembinaan masjid di Rantau berharga kira-kira RM7.9 juta yang boleh menampung 2,500 jemaah akan dibina menerusi derma dan sumbangan Yayasan Albukhary di Taman Ekar.


Masjid Seremban 2 pula berharga kira-kira RM7.5 juta dan mampu menampung 3,000 jemaah akan dibina menerusi peruntukan yang disalurkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM).


DARI BIDANG PENGANGKUTAN KE TOKOH KORPORAT


Pada tahun 80-an, Syed Mokhtar telah beralih ke bidang pengangkutan yang telah membawa tuah kepadanya sehingga menjadi seorang antara tokoh korporat bumiputera yang terkaya di Malaysia.


Karier perniagaannya mula dikenali pada awal 90-an di Johor semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar. Beliau yang amat meminati bidang pengurusan dan pembangunan pelabuhan adalah salah seorang manusia yang bertanggungjawab menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor menjadi terkenal di mata dunia dalam tempoh yang sebentar.


Tidak lama kemudian, Syed Mokhtar telah mengasaskan Yayasan (Islam) Al-Bukhary yang telah membina dan menguruskan Muzium Kesenian Islam bernilai RM70 juta di Kuala Lumpur selain banyak menjalankan kerja-kerja amal dan kebajikan terutamanya sekitar Negeri Kedah dan Perak.


Syed Mokhtar juga merupakan pemilik kepada Syarikat Gulf International Investment Group Capital (GIIG) yang mempunyai kepentingan dalam Projek Hidro Elektrik Bakun.


Di samping itu, beliau mempunyai kepentingan dalam beberapa buah firma terkenal Malaysia seperti Malaysia Mining Corporation Berhad (MMC), PERNAS, Padiberas Nasional Berhad, Malakoff Berhad, Seaport Terminal Johor Sdn. Bhd., Johor Port Berhad, Impian Teladan Sdn. Bhd., Indra Cita Sdn. Bhd. dan banyak lagi.


MMC telah bergabung dengan Gamuda Berhad dan berjaya mendapatkan projek landasan keretapi berkembar bernilai RM14.5 billion sebelum ia dibekukan oleh kerajaan kerana faktor pemulihan ekonomi. Syed Mokhtar juga dikatakan telah membeli kepentingan majoriti dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor.


Nama Tan Sri Syed Mokhtar turut tersenarai dalam senarai '40 Individu Paling Kaya di Malaysia Forbes Asia' bagi tahun ini.


Syed Mokhtar dilaporkan mempunyai kekayaan AS$1.1 bilion (RM3.86 bilion). Meskipun susut dari AS$1.8 bilion (RM6.32 bilion) pada tahun lalu, beliau masih mengekalkan kedudukan di tempat ke-8 dalam senarai '40 Individu Paling Kaya di Malaysia' tahun ini.


Walaupun menjadi hartawan yang disegani, sifat rendah diri yang dimilikki beliau membuatnya tidak pernah lupa dan bersyukur akan nikmat Allah.


Malah, Syed Mokhtar mengingatkan supaya berhati-hati dengan nikmat yang Allah kurniakan.


"Kadang-kadang nikmat yang kita dapat boleh merosakkan kita. Kita kena kawal supaya nikmat tidak merosakkan kita. Yayasan Albukhary menjadi tempat untuk menempatkan lebihan yang boleh merosakkan diri kita," pesan Syed Mokhtar

Penulis: siapa kata orang melayu tak boleh.yang penting usaha dan tawakal kepada Allah s.w.t.Jangan lupa bayar zakat sekali