Sunday, December 5, 2010

Pengesan DNA Babi Diguna Dalam Operasi Produk Halal

PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bakal menggunakan alat pengesan asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam setiap operasi penguatkuasaannya bagi menentukan produk yang dikeluarkan di negara ini atau diimport bebas daripada unsur haram.
Ketua pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata alat berkenaan yang dicipta oleh Institut Halal di Universiti Putra Malaysia, akan memberi kemudahan kepada pihak berkuasa dalam operasi pemantauan produk halal berbanding sebelum ini, yang melibatkan pelbagai pihak.
"Kita mengalu-alukan apa jua produk baru yang boleh mempermudahkan urusan penguatkuasaan dan pemantauan. Sebelum ini, kita memerlukan khidmat banyak pihak seperti Jabatan Kimia bagi mengesahkan sesuatu produk itu bebas daripada unsur haram atau tidak.
"Penciptaan alat ini merupakan sesuatu yang dibanggakan kerana ia menyumbang kepada integriti halal bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Pensijilan Halal Luar Negara sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2010 Ke-7 di sini Khamis.
Wan Mohamad berkata alat itu, yang mampu mengesan DNA babi dalam tempoh kurang daripada satu jam, turut diperkenalkan kepada badan-badan pensijilan halal luar negara.
"Kita serah pada budi bicara pihak berkenaan. Kita hanya memberi maklumat supaya ia turut memberi kemudahan dalam urusan pemantauan mereka," katanya.
Badan Pensijilan Halal Luar Negara merupakan badan pengesahan halal yang dilantik dan diiktiraf oleh Malaysia bagi mengesahkan status halal daging dan produk yang akan dieksport ke negara ini.
Jumlah keseluruhan badan pensijilan halal yang telah dilantik dan diiktiraf oleh Jakim ialah 29 dari 23 negara.


Penulis:Boleh berjaya ke?????

No comments: