Thursday, December 30, 2010

ZAKAT BUKAN BANTUAN SEUMUR HIDUP



 
PENERIMA zakat patut berbangga jika berjaya keluar dari kepompong kemiskinan berkat bantuan duit zakat, bukan berasa rugi atau sedih kerana tidak lagi tersenarai dalam asnaf penerima zakat.


Perunding Utama Fitrah Power Resources, Ahmad Shukri Yusoff, berkata konsep bantuan zakat bukan untuk seumur hidup, tetapi sebagai sumbangan membantu penerima memperbaiki kehidupan kepada lebih baik.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Unit Syariah dan Penerangan Khas Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZMAIWP) berkata, ada yang sudah keluar daripada kelayakan menerima zakat, tetapi berasa sayang melepaskannya.

Tidak kurang juga, katanya, dari bapa hingga anak menjadi penerima zakat dan keadaan itu tidak mencerminkan falsafah zakat serta hikmah membantu masyarakat mengubah kehidupan.


"Konsep zakat ialah apabila kita beri bantuan dengan matlamat dia boleh memperbaiki kehidupan seterusnya keluar daripada kemiskinan. Contohnya, wang zakat digunakan untuk mengambil kursus kemahiran bagi menjana pekerjaan.


"Jangan salah anggap bahawa zakat sebagai bantuan seumur hidup dan disebabkan sudah rasa selesa, maka tidak ada usaha memperbaiki diri. Jadi, hidup bergantung bantuan wang zakat saja," katanya.


Ahmad Shukri berkata, bagi yang boleh hidup tanpa bantuan zakat sepatutnya memaklumkan pihak berkuasa mengenai perkembangan diri mereka supaya wang diperuntukkan untuk mereka boleh disalurkan kepada golongan memerlukan.

Katanya, tidak dinafikan ramai penerima zakat berjaya menjana pendapat dengan memulakan perniagaan atau meningkatkan kemahiran menggunakan sumbangan zakat diterima hingga membolehkan mereka berdikari.


"Memang ada yang dulunya penerima zakat kini bertukar menjadi pembayar zakat berkat kesungguhan memanfaat bantuan diterima. Inilah yang kita mahukan, bukan marah apabila nama mereka terkeluar daripada senarai penerima hingga merayu-rayu," katanya.


Katanya, bagi yang tidak layak menerima zakat, tetapi tetap mahu wang sumbangan zakat, mereka melakukan dosa kerana mengambil hak orang lain. Dari segi moral serta agama, tindakan itu tidak boleh diterima.


Mengenai wang zakat mencecah jutaan ringgit dikutip sekarang ini sebagai penyelesai kepada masalah kemiskinan yang masih menghantui masyarakat di negara ini, beliau berkata, wang zakat bukan satu-satunya sumber membasmi kemiskinan.


Sebaliknya, agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat serta organisasi berkaitan turut memikul tanggungjawab membantu mengurangkan beban golongan yang memerlukan.


"Memang timbul persepsi sepatutnya dengan jumlah zakat sebanyak itu, tidak patut ada orang miskin di negara ini, tetapi tujuan zakat bukan membantu orang miskin kerana ada asnaf lain berhak menerima wang zakat," katanya.


Ahmad Shukri berkata, banyak perlu diperbaiki dalam pengurusan zakat di negara ini seperti memberi jumlah bantuan mencukupi, memastikan bantuan menyelesaikan masalah penerima dan menentukan hanya yang benar-benar layak dibantu dengan wang zakat.


Katanya, dalam sesetengah kes ialah wang zakat yang diterima tidak mencukupi untuk penerima meneruskan kehidupan yang akhirnya menyebabkan mereka terus bergantung kepada bantuan.


Sebab itu, katanya, jika dilihat daripada mata kasar, penerima zakat seolah-olah sudah dibantu, tetapi hakikat sebenarnya, wang zakat diterima gagal menyelesaikan masalah dihadapi.


"Contohnya, zakat diberi RM300, tetapi keperluan keluarga melebihi RM800. Walaupun sudah menerima bantuan zakat, tetapi masalah sebenarnya tidak selesai. Jadi saya fikir, masih ada ruang penambahbaikan dalam pengurusan zakat," katanya.


Begitu juga dalam proses pencarian asnaf yang benar-benar layak menerima zakat, perlu diperbaiki supaya tidak ada yang terlepas pandang.


Beliau berkata, sikap penerima zakat yang kadang-kadang tidak menghargai sumbangan diberikan umat Islam yang menunaikan zakat turut menggagalkan usaha mencetus budaya bersedekah dalam kalangan masyarakat.


Katanya, sesetengah penerima zakat sudahlah hidup dalam keadaan serba kekurangan, tetapi tidak melaksanakan tuntutan agama, malah ada menggunakan duit itu untuk melakukan maksiat.


Ahmad Shukri berkata, kesedaran serta kesediaan umat Islam menunaikan zakat fitrah memang tidak boleh disangkal, tetapi bagi zakat pendapatan, harta, emas dan simpanan masih berkurangan. Oleh itu, dakwah zakat perlu dipertingkatkan supaya lebih ramai menunaikan kewajipan.


Konsep Zakat : Bukan memberi tapi membantu...

No comments: